Tuesday, February 1, 2011

Al-Waqiah, Surah yang ke-56

Al-Waqiah, Surah yang ke-56
Di dalam Quran, surah al-Waqiah berada pada kedudukan ke-56 iaitu selepas surah ar-Rahman. Namun asbabun nuzul menjelaskan, surah al-Waqiah diturunkan selepas surah Taha. Ia dinamakan surah al-Waqiah yang bermaksud ‘hari kiamat’ kerana di dalamnya banyak memceritakan perihal kiamat.

Kandungan utama surah al-Waqiah adalah penjelasan berkenaan terjadinya hari kiamat, gambaran syurga dan neraka, serta perihal orang yang banyak melakukan kezaliman dan keingkaran. Tidak ketinggalan juga ia mengandungi maklumat mengenai orang yang beriman. Dalam penjelasannya yang lebih terperinci, ia menerangkan manusia terbahagi kepada tiga golongan pada hari akhirat iaitu:

  • Golongan yang segera melakukan kebaikan.
  • Golongan kanan iaitu orang yang beriman.
  • Golongan kiri iaitu orang yang mengingkari Tuhan.

Surah al-Waqiah menjelaskan, golongan orang yang segera melakukan kebaikan adalah golongan para nabi yang selalu bersegera mengamalkan ibadah kepada Allah dengan penuh tawaduk.
Golongan kanan pula adalah orang yang soleh iaitu mereka yang bertindak sesuai dengan tuntutan Quran. Ahli tafsir Quran menggambarkan golongan kanan sebagai ashabul yamin atau ashabul mujahadah iaitu orang yang berjihad, orang yang mahu berjuang dan sabar dalam menanggung penderitaan.

Golongan kanan memperoleh kemenangan walaupun mereka ditimpa pelbagai ujian dan kegelisahan. Mereka menyedari kehidupan ini adalah ujian dan ia penuh dengan penderitaan. Kelak, mereka pasti mendapat balasan kebaikan daripada Allah. Mereka melalui semua ujian dengan penuh kerelaan dan keikhlasan seperti Nabi Muhammad yang sering menerima ujian, namun beliau tetap ikhlas dan sabar.

Golongan kiri adalah orang yang mendustakan ayat-ayat Quran. Dengan demikian, mereka adalah orang yang sesat. Mereka mengingkari kebenaran yang datang daripada Allah dan mendustakan agama tauhid. Mereka termasuk dalam golongan orang yang sesat. Mereka mengingkari apa yang sebenarnya dipandang benar oleh hatinya hingga segala kebaikan terasa seperti duri yang menyeksa diri. Inilah manusia sesat yang mendapat balasan neraka pada hari kiamat kelak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...